NOW BOARDING

Sunday, July 5, 2015

KILANG MIMPI

Bismillahirrahmanirrahim, 



Cerita seorang pengawal keselamatan, setiap hari dia akan menjaga sebuah kilang yang beroperasi 24 jam. Kilang itu sangat bernilai dan besar. Kilang yang mendapat keuntungan berjuta-juta malahan bilion ringgit. Jadi tentulah aset yang berada dalam kilang tersebut sangat berharga. 

Sebagai seorang pengawal keselamatan atau pakgad, tugasnya hanyalah memantau dan menjaga kawasan luar kilang yang boleh dilihat oleh sesiapa pun. Langsung daripada tugasnya setiap hari hampir 2 tahun, pernah terdetik hatinya untuk cuba masuk dan lihat apa yang ada dalam kilang tersebut, namun sentiasa dihalang oleh ketua kilang tersebut. Bagi ketua kilang itu, tugas seorang pakgad tidak lebih daripada hanya berada di luar kilang itu. Jika tiada yang masuk dari luar, sudah tentulah keadaan di dalam akan selamat. 

Hari demi hari, berlalu seperti biasa, rutin pakgad itu sudah menjadi biasa baginya walaupun keinginannya masih ada. Sehinggalah suatu hari, keiginannya hampir menjadi kenyataan. Ditakdirkan ketua kilang itu mengadakan jamuan untuk semua kakitangan kilang, dan tempatnya adalah di dalam kilang itu. 

Hari jamuan tiba, pakgad yang pada asalnya di luar berjaga, bertekad untuk masuk ke dalam dengan beranggapan dirinya tidak akan dikenali dan ketua tidak perasan dia masuk ke dalam kilang itu. Dengan perlahan dan penuh berhati-hati dia cuba masuk, mengikut pintu utama, dia berjalan, lagaknya sama seperti tetamu yang dijemput. 

Kaki dijejakkan ke dalam kilang itu, dia hampir terkesima, rupa di luar kilang yang biasa bagi kilang-kilang yang lain rupanya sangat berbeza dalamnya. Lampu yang menerangi dalam kilang tersebut sangat terang, dan hiasan dalam kilang tersebut sangat cantik dan mesra. Di dalam kilang tersebut, pakgad ini bertemu dengan ramai pekerja-pekerja yang hebat, mereka berpakaian cantik dan segak. Hebat, cuma yang dapat membezakan adalah setiap seorang daripada mereka mempunyai kelebihan yang tersendiri, ada yang berseni, ada yang intelektual tinggi, ada yang petah berkata, dan ada juga yang alim seperti seorang ustaz. 

Pengawal keselamatan, yang hanya berkelulusan biasa itu seakan kaku, kerana dianggapnya mereka yang bekerja di kilang tersebut hanyalah pekerja biasa yang setaraf dengannya. Baru tiga langkah jaraknya dengan pintu, dia tidak mampu meneruskan langkahnya lagi. Semua mata yang berada dalam kilang tersebut kini tertumpu kearahnya, termasuklah mata ketua kilang. Dia masih berdiri dengan beruniform pengawal keselamatan, tidak bergerak menanti tindakan ketua kilang yang kini berjalan menuju kearahnya. Ketua itu, menghulurkan segelas minuman kepadanya, dan tersenyum. 

Bagi pengawal itu, baik sungguh ketua kilang ini dengan dia. Walaupun tidak dihalau, pengawal itu tidak meneruskan langkahnya, dia hanya menghabiskan air yang diberi itu dan beransur keluar dengan perlahan. Semua mata masih tertumpu kepada dia, dan lama-kelamaan, dia pun hilang daripada pandangan semua. 

Tertunduk, berjalan menuju ke tempatnya di pintu pagar kilang, untuk meneruskan tugasnya. Kini, dia tidak lagi berniat mahu masuk ke dalam kilang tersebut, dan hanya melaksanakan tugasnya, di luar.  Baginya, tempatnya cukuplah sekadar berada di luar, menjalankan tugas kerana tidak layak baginya untuk masuk ke dalam kilang itu, apa lagi bekerja di dalamnya. 

Tugasnya diteruskan seperti biasa. Mungkin sampai masa dia akan mohon untuk berhenti bekerja sebagai pengawal keselamatan dan memohon kerja di kilang lain untuk menjadi pekerja kilang dan bukan sekadar pengawal keselamatan. Kilang yang mungkin boleh menerima dia sesuai dengan kelulusan dan kelayakan dia. 

P/s: mimpi lama yang baru hari ini aku dapat tafsirkan apa maksudnya. 


No comments:

Post a Comment